Kes jenayah siber terus meningkat dan kemampuan penjenayah terbabit menembusi pelbagai tembok keselamatan sistem (firewall) untuk mencuri maklumat atau merosakkan laman web membuktikan ada ketika mereka berada selangkah di depan. Antara kebimbangan yang semakin ketara dirasakan kebelakangan ini adalah kalangan pelanggan bank yang berdepan risiko akaun internet mereka diceroboh dan wang dalamnya lesap.

          Ini berlaku apabila kes pencerobohan internet membabitkan cubaan mencuri identiti pengguna termasuk kata nama dan kata laluan akaun internet meningkat 52 peratus iaitu 446 kes pada suku pertama tahun ini berbanding 214 kes bagi tempoh sama, tahun lalu. Dengan perangkaan ini, kita mungkin beranggapan ramai penjenayah siber memang licik dan masih bebas melakukan kegiatan mereka di samping kemunculan penjenayah baru. Berikutan dunia siber tidak dibatasi sempadan, keadaan semakin sulit kerana sebahagian penjenayah ialah warga asing dan berpangkalan di seberang laut.

           Senario begini menuntut Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia memperkukuhkan keupayaan pegawai serta kakitangan untuk berdepan keupayaan penjenayah siber yang entah siapa. Kepentingan melindungi maklumat pelanggan amat penting kerana bukan setakat menjaga simpanan mereka, tetapi lebih membimbangkan ialah identiti mangsa dimanipulasi untuk pelbagai jenayah. Data itu boleh digunakan sindiket jenayah siber di seluruh dunia yang antara lain membabitkan pemalsuan dokumen imigresen dan penipuan kad kredit selain transaksi wang haram atau barang terlarang lain.

Justeru, usaha memantap dan mengembangkan keupayaan Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia ini perlu disegerakan. Lagipun, kes pencerobohan internet dilapor dan diumumkan unit itu kepada media mungkin membabitkan aduan individu awam. Kita tidak tahu berapa kes pencerobohan sama terhadap sistem perkomputeran jabatan dan agensi kerajaan kerana itu mungkin diklasifikasikan sebagai rahsia profil tinggi. Perbuatan menggodam dalam cubaan memperoleh maklumat berharga organisasi strategik tertentu pasti sentiasa dilakukan, malah dilipat gandakan dari semasa ke semasa kerana nilai tinggi data tertentu jika jatuh ke tangan mereka sama untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pihak ketiga.

Memandangkan maklumat adalah tonggak kehidupan era kini, maka kemampuan maksimum untuk melindungi keselamatan data identiti individu serta organisasi adalah satu keperluan. Kita boleh berkongsi maklumat dan menimba pengalaman dengan mana-mana negara atau organisasi antarabangsa berkaitan untuk mempertingkatkan keupayaan dalam menghadapi penjenayah siber ini. Begitu juga dengan kemampuan Bahagian Jenayah Perdagangan PDRM selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia, perlu dipertingkatkan.

         Jenayah siber bukan setakat membabitkan kerugian wang individu atau bank, tetapi dalam kes tertentu kecurian maklumat menyebabkan organisasi rugi jutaan ringgit apabila seluruh sistem terpaksa diganti baru. Kerugian turut membabitkan maklumat rahsia yang akhirnya mendedahkan organisasi atau negara kepada ancaman musuh yang sentiasa mengintai untuk menjejaskan kita.

Kesan daripada peningkatan jenayah siber ini, pengguna Internet dinasihatkan untuk melindungi diri melalui pelbagai langkah keselamatan yang telah disarankan oleh CyberSecurity Malaysia.
Antaranya ialah:

1. Memastikan kata laluan yang digunakan adalah alphanumeric, iaitu gabungan nombor dan abjad.
Kata laluan hendaklah dihafal dan tidak dituliskan di mana-mana. Kata laluan ini hendaklah ditukar sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
2. Berhati-hati dalam memberikan maklumat peribadi di dalam laman web, e-mel, sistem pemesejan segera, bilik bual atau pada papan mesej, terutamanya apabila pengguna tidak pasti tujuannya.
Pengguna berhak untuk bertanyakan mengapa dan bagaimana maklumat yang diberi akan digunakan.
3. Memerhatikan tanda-tanda kecurian identiti seperti bil yang hilang atau lambat sampai, menerima kad kredit yang tidak dipohon, ditolak kredit atau ditawarkan terma yang kurang menguntungkan tanpa sebab-sebab yang jelas, atau dihubungi oleh pemungut hutang atau pihak-pihak berkenaan mengenai pembelian yang tidak dibuat.
4. Jangan membuka e-mel, fail atau pautan laman web daripada pihak yang tidak dikenali atau dicurigai isi kandungannya.
5. Memastikan lampiran e-mel adalah daripada sumber yang dipercayai sebelum membukanya. Jangan berikan respons kepada e-mel yang meminta maklumat peribadi, maklumat daftar masuk atau pengesahan tukar kata laluan,
6.
Menggunakan antivirus, anti-spyware dan program firewall yang disokong dengan baik oleh pembekalnya. Pastikan program yang digunakan adalah terkini dan dikemas kini dari masa ke semasa.
7. Bagi pengguna yang memiliki akaun perbankan dalam talian, anda disarankan memeriksa akaun bank dengan kerap untuk memastikan tiada pengeluaran palsu dijalankan. Jika melakukan pembelian dalam talian, gunakan kad kredit. Kad kredit biasanya mempunyai perlindungan yang lebih terjamin bagi liabiliti peribadi.
8. Semasa melawat laman web perbankan dalam talian, periksa sama ada tarikh dan masa sepadan dengan tarikh dan masa bagi pendaftaran masuk terakhir. Jika akaun bank telah terjejas, bertindak pantas dan laporkan kepada bank.
 
            Sementara itu, CyberSecurity Malaysia menawarkan perkhidmatan Cyber999 yang menerima aduan-aduan jenayah siber dan memajukan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab.

            Kesimpulannya, pengguna Internet mampu melakukan perubahan dan impak dalam menangani isu jenayah siber. Ini dilakukan dengan melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenai langkah keselamatan siber antaranya seperti yang disarankan oleh CyberSecurity Malaysia.
Sikap sentiasa berwaspada dan berhemah ketika melayari alam siber mampu melindungi serta memerangi jenayah siber.



NUR AISHAH BINTI HUSSIN KHAN      206142



Monday, September 13, 2010 Posted in | | 0 Comments »

One Responses to "~JENAYAH SIBER~"

Write a comment

AKSI REMAJA KINI

Test Widget