PENGENALAN
Vandalisme boleh didefinasikan sebagai tindakan membinasakan atau merosakkkan harta benda awam atau harta benda orang lain. Terdapat juga pelaku vandalisme ini menyatakan kononnya mereka melakukan aktiviti ini untuk melepaskan geram, rasa tidak puas hati mereka terhadap sesuatu perkara atau sekadar suka-suka. Pada kebiasaannya, vandalisme ini dilakukan pada dinding-dinding bangunan terutamanya bangunan yang lama atau terbiar. Golongan yang kebiasaanya terlibat dalam vandalisme adalah remaja yang ingin menonjolkan bakat terpendam mereka melalui lukisan-lukisan mural atau tulisan graffiti. Namun begitu, vandalisme boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Kemudahan awam seperti telefon awam, harta benda sekolah, tandas awam dan lain-lain juga menjadi sasaran.
FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA VANDALISME
Terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya vandalisme khususnya di kalangan remaja pada masa kini. Masalah vandalisme ini dilihat semakin berleluasan di negara ini.
Salah satu faktor berlakunya vandalisme adalah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru atau terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap , nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir atau menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja yang bergerak secara berkumpulan. Mereka tidak mempunyai hala tuju masing-masing dan apabila berkumpul atau melepak timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.
Selain itu, ibu bapa merupakan pendorong yang menyebabkan berlakunya vandalisme di kalangan remaja. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam keluarga dengan menunjukkan teladan yang baik di hadapan anak-anak. Sesetengah remaja yang terjebak dalam vandalisme tergolong dalam kelompok yang menghadapi masalah keluarga atau keluarga mengamalkan budaya hidup yang negatif. Menurut kajian yang dijalankan remaja melakukan vandalisme sebagai cara untuk melepaskan rasa ketidakpuasan hati remaja yang inginkan kebebasan atau tekanan yang dihadapi oleh mereka yang berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya kawalan, bimbingan dan perhatian yang sempuna daripada ibu bapa antara faktor utama yang mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.Ibu bapa yang terlampau leka dalam urusan dunia sehingga terabai dalam memberikan pendidikan moral atau agama kepada anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak tidak mempunyai nilai-nilai murni yang sepatutnya ditanamkan dalam diri mereka.
Di samping itu, media massa juga mendatangkan pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme yang boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal di sekeliling termasuklah media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.
Sikap apati(tidakpeduli), individual dan meterialistik masyarakat merupakan antara faktor berlakunya vandalisme. Remaja adalah produk dalam sesebuah masyarakat. Sikap sesetengah pihak yang hanya mementingkan soal kebendaan tanpa ambil peduli isu-isu sosial akan merumitkan lagi masalah yang sedia wujud. Kajian menunjukkan gejala vandalisme kebanyakan berlaku di bandar. Di kawasan bandar, orang ramai tidak ambil peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jadi, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI VANDALISME
Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi masalah gejala vandalisme yang semakin berleluasa kini. Semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam membantu menyelesaikan masalah vandalisme.
Antara langkah yang boleh dijalankan adalah penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang oleh pihak yang berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991, ‘sesiapa yang didapati merosakkkan harta benda awam boleh didenda sebanyak RM2000 atau penjara tidak lebih setahun jika disabitkan kesalahan’. Perlaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme perlu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dengan berpakaian seragam pesalah vandalisme di tempat awam. Tindakan tegas ini dijalankan agar dapat memberikan pengajaran kepada rakan-rakan yang lain.
Selain-itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak mereka tentang falsafah kepentingan harta benda awam dengan menganggap harta benda orang lain seperti harta sendiri. Ibu bapa perlu mengasihi, mendampingi dan meluangkan masa secukupnya agar tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Pihak sekolah juga perlu memberi nasihat dan bimbingan yang mendalam kepada pelajar mengenai kepentingan dan tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam.
Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga memainkan peranan dalam membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen “Harta Awam Milik Bersama”. Media massa perlu menyiarkan maklumat tentang vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
KESAN-KESAN VANDALISME
Diri Sendiri:-
Masa depan pelaku vandalisme akan gelap dan membentuk masyarakat yang tidak berwawasan. Merugikan diri sendiri kerana tidak dapat menggunakan lagi harta benda awam yang telah dirosakkan oleh kita.
Masyarakat:-
Masyarakat tidak dapat menggunakan kemudahan yang telah dirosakkan dan perlu mengeluarkan wang untuk membaiki harta benda awam.
Keluarga:-
Perasaan malu dan dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling. Nama keluarga juga turut tercemar.
FARAH FARHANA BT ABDUL RAHMAN 207416
Sunday, September 12, 2010
Posted in | |
0 Comments »
One Responses to "~VANDALISME~"